Thursday 27 March 2014

ISI: 2.2: ADAT ISTIADAT DAN KEAGAMAAN


                    Masyarakat ‘India Chetti’ menganut agama Hindu. Mereka adalah penganut agama yang setia serta berpegang teguh kepada ajaran dan pantang larang. Antara Hari Perayaan yang disambut oleh masyarakat Chetti adalah Hari Ponggal iaitu Hari Kesyukuran kaum Chetti kepada nenek moyang dan Tuhan mereka. Perayaan ini turut diraikan oleh semua masyarakat India di seluruh dunia ini tetapi sambutan ini dipercayai telah dimulakan oleh masyarakat Chetti dahulu. Sambutan perayaan ini bermula pada hari terakhir bulan Margali iaitu pada 13 Januari yang bermaksud bulan berbunga dan pada hari itu sejenis sambutan kecil akan dimulakan sebelum Hari Ponggal iaitu Paru atau Bhogi. Sambutan kecil ini adalah petunjuk bermulanya perayaan Hari Ponggal.

                    Pada hari tersebut masyarakat Chetti akan memasak makanan tradisional mereka seperti nasi lemak kukus berlauk pinding ikan parang, kuah terung, sambal timun, udang, urap kelapa, kangkung tumis, kacang goreng minyak, acar cili dan sambal taik minyak. Makanan tersebut disediakan kira-kira tiga hari sebelum menjelangnya perayaan Hari Ponggal kerana persediaan perlu disiapkan dengan penuh teliti. Mereka yang memasak tidak boleh bersembang dan merasa makanan yang mereka masak yang merupakan pantang larang arwah nenek moyang yang akan mengutuk serta mendatangkan bencana terhadap keluarga mereka, manakala wanita yang sedang mengalami haid pula, tidak dibenarkan memasak kerana ini menjadi pantang larang dalam menyediakan makanan untuk roh dan nenek moyang serta saudara mara mereka yang telah meninggal dunia.

                      Masyarakat Chetti akan bersembayang setiap hari sepanjang bulan Margali sebelum matahari terbit manakala wanitanya pula akan membasuh lantai di depan rumah dan menabur bunga serta meletakkan bekas bara sebagai tanda kesyukuran ketika sembahyang arwah. Pada bulan ini juga adalah bulan yang paling sibuk bagi masyarakat Chetti kerana pada minggu terakhir mereka, masyarakat Chetti beramai-ramai akan mengunjungi tanah perkuburan nenek moyang masing-masing untuk bersembayang dan membersihkan kawasan persekitaran terbabit yang bertujuan meminta restu daripada nenek moyang mereka supaya keamanan serta perpaduan sentiasa terjalin dalam keluarga.

                    Pada hari pertama bulan Thai iaitu 14 Januari pula masyarakat Chetti akan menyambut perayaan 'Vitthu Ponggol" iaitu rumah terbuka kepada sanak saudara dan sahabat handai. Para tetamu akan dihidangkan dengan kuih muih tradisional seperti dodol, wajik, koya kacang, kanda kasturi, bahulu, kuih belanda, kuih bangkit, halwa dan sagun yang menjadi kegemaran masyarakat Chetti. Walaupun masyarakat Chetti adalah kaum minoriti, perpaduan dan sikap kekeluargaan diutamakan apabila diadakan perayaan. Kemeriahan pastinya terbayang di wajah setiap penduduk perkampungan seperti di Gajah Berang kerana kepulangan saudara mereka akan berkumpul bagi merapatkan lagi hubungan kekeluargaan mereka. Bagi menghidupkan atau mengekalkan adat istiadat di kalangan generasi baru, beberapa pertandingan diadakan seperti mengikat Talapa (serban kepala), menganyam daun kelapa (mateh), mengikat bunga (Sarem) dan melukis Kolam.

                    Selain daripada itu, terdapat sebuah perayaan lagi yang disambut secara besar-besaran dalam masyarakat Chetti iaitu perayaan Mariamman Thirunal yang lebih dikenali dengan nama Menggamay. Perayaan ini diadakan setiap tahun di Kuil Sri Muthu Mariamman yang terletak di perkampungan Chetti mengikut kalender pada akhir bulan April atau awal bulan Mei. Perayaan ini disambut selama sepuluh hari dan merupakan perayaan agama yang sangat penting bagi masyarakat Chetti serta disambut dengan begitu meriah. Pada masa perayaan ini masyarakat Chetti akan menghiasi rumah masing-masing dengan memasang lampu berwarna-warni dan menggantung daun torenom iaitu daun kelapa muda yang dianyam rapi.

                    Pada hari yang sebenarnya, upacara sembahyang besar-besaran diadakan dengan perarakan Kavadi bersama kaum Chetti, India dan Cina pada siang hari. Pada malam hari pula, kereta Ratham iaitu kereta perarakan yang dihiasi lampu dengan membawa Dewi Muthu Mariamman mengelilingi Bandar Melaka. Pada setiap hari perayaan tersebut, masyarakat yang bernazar akan mengangkat Kavadi, Palkodam iaitu bekas yang berisi susu atau mencucuk anggota badan dengan Vel untuk mengucapkan terima kasih kepada Dewi Muthu Mariamman yang telah mengabulkan doa mereka. Di hari yang keenam upacara ini akan dilanjutkan dengan perarakan Karagam yang diiringi paluan gendang, mengelilingi Kampung Budaya Chetti untuk memberitahu kepada Masyarakat Chetti bahawa perayaan Menggamay sudah pun hampir dekat.

                    Namun kini, kebanyakan generasi muda masyarakat Chetti Melaka ini kurang mengenali adat istiadat mereka. Hanya segelintir sahaja yang mengetahuinya melalui datuk dan nenek mereka. Jika generasi muda ini tidak didedahkan dengan kebudayaan tradisional, lama kelamaan adat istiadat itu dikhuatiri dan akan pupus ditelan zaman.


No comments:

Post a Comment