ISI: 2.2: ADAT ISTIADAT DAN
KEAGAMAAN
Masyarakat ‘India Chetti’
menganut agama Hindu. Mereka adalah penganut agama yang setia serta berpegang
teguh kepada ajaran dan pantang larang. Antara Hari Perayaan yang disambut oleh
masyarakat Chetti adalah
Hari
Ponggal iaitu Hari Kesyukuran kaum Chetti kepada nenek moyang dan Tuhan mereka.
Perayaan ini turut diraikan oleh semua masyarakat India di seluruh dunia ini
tetapi sambutan ini dipercayai telah dimulakan oleh masyarakat Chetti dahulu. Sambutan
perayaan ini bermula pada hari terakhir bulan Margali iaitu pada 13 Januari
yang bermaksud bulan berbunga dan pada hari itu sejenis sambutan kecil akan
dimulakan sebelum Hari Ponggal iaitu Paru atau Bhogi. Sambutan kecil ini adalah
petunjuk bermulanya perayaan Hari Ponggal.


Masyarakat Chetti akan bersembayang
setiap hari sepanjang bulan Margali sebelum matahari terbit manakala wanitanya
pula akan membasuh lantai di depan rumah dan menabur bunga serta meletakkan
bekas bara sebagai tanda kesyukuran ketika sembahyang arwah. Pada bulan ini
juga adalah bulan yang paling sibuk bagi masyarakat Chetti kerana pada minggu
terakhir mereka, masyarakat Chetti beramai-ramai akan mengunjungi tanah
perkuburan nenek moyang masing-masing untuk bersembayang dan membersihkan
kawasan persekitaran terbabit yang bertujuan meminta restu daripada nenek
moyang mereka supaya keamanan serta perpaduan sentiasa terjalin dalam keluarga.
Pada hari pertama bulan
Thai iaitu 14 Januari pula masyarakat Chetti akan menyambut perayaan 'Vitthu
Ponggol" iaitu rumah terbuka kepada sanak saudara dan sahabat handai. Para
tetamu akan dihidangkan dengan kuih muih tradisional seperti dodol, wajik, koya
kacang, kanda kasturi, bahulu, kuih belanda, kuih bangkit, halwa dan sagun yang
menjadi kegemaran masyarakat Chetti. Walaupun masyarakat Chetti adalah kaum minoriti,
perpaduan dan sikap kekeluargaan diutamakan apabila diadakan perayaan.
Kemeriahan pastinya terbayang di wajah setiap penduduk perkampungan seperti di
Gajah Berang kerana kepulangan saudara mereka akan berkumpul bagi merapatkan
lagi hubungan kekeluargaan mereka. Bagi menghidupkan atau mengekalkan adat
istiadat di kalangan generasi baru, beberapa pertandingan diadakan seperti
mengikat Talapa (serban kepala), menganyam daun kelapa (mateh), mengikat bunga
(Sarem) dan melukis Kolam.
Selain daripada itu,
terdapat sebuah perayaan lagi yang disambut secara besar-besaran dalam
masyarakat Chetti iaitu perayaan Mariamman Thirunal yang lebih dikenali dengan
nama Menggamay. Perayaan ini diadakan setiap tahun di Kuil
Sri Muthu Mariamman yang terletak di perkampungan Chetti mengikut kalender pada
akhir bulan April atau awal bulan Mei. Perayaan ini disambut selama sepuluh
hari dan merupakan perayaan agama yang sangat penting bagi masyarakat Chetti
serta disambut dengan begitu meriah. Pada masa perayaan ini masyarakat Chetti
akan menghiasi rumah masing-masing dengan memasang lampu berwarna-warni dan
menggantung daun torenom iaitu daun kelapa muda yang dianyam rapi.
Pada hari yang sebenarnya, upacara
sembahyang besar-besaran diadakan dengan perarakan Kavadi bersama kaum Chetti,
India dan Cina pada siang hari. Pada malam hari pula, kereta Ratham iaitu
kereta perarakan yang dihiasi lampu dengan membawa Dewi Muthu Mariamman
mengelilingi Bandar Melaka. Pada setiap hari perayaan tersebut, masyarakat yang
bernazar akan mengangkat Kavadi, Palkodam iaitu bekas yang berisi susu atau
mencucuk anggota badan dengan Vel untuk mengucapkan terima kasih kepada Dewi
Muthu Mariamman yang telah mengabulkan doa mereka. Di hari yang keenam upacara
ini akan dilanjutkan dengan perarakan Karagam yang diiringi paluan gendang,
mengelilingi Kampung Budaya Chetti untuk memberitahu kepada Masyarakat Chetti
bahawa perayaan Menggamay sudah pun hampir dekat.
Namun kini, kebanyakan
generasi muda masyarakat Chetti Melaka ini kurang mengenali adat istiadat
mereka. Hanya segelintir sahaja yang mengetahuinya melalui datuk dan nenek
mereka. Jika generasi muda ini tidak didedahkan dengan kebudayaan tradisional,
lama kelamaan adat istiadat itu dikhuatiri dan akan pupus ditelan zaman.